Carian Kursus

[ KBA0021 ] Kursus Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan (Surat Rasmi, Memo, E-Mel) [ Siri 2/2024 ]

Sinopsis Kursus

Dokumen rasmi Kerajaan adalah sebarang bahan bertulis yang dihasilkan oleh kerajaan secara sah dan tertakluk di bawah Akta 629 (Akta Arkib Negara 2003). Dokumen-dokumen ini termasuk surat, memorandum, e-mel dan minit mesyuarat yang digunakan di setiap pejabat kerajaan.

Kepentingan surat rasmi dan minit mesyuarat terlihat melalui pelbagai punca kuasa yang menekankan aspek-aspek struktur, elemen, dan gaya bahasa surat rasmi serta minit mesyuarat kerajaan untuk membezakannya dari dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh pihak swasta. Penerbitan Surat Pekeliling Am Bil. 8 Tahun 1980 menjadi titik tolak untuk penyeragaman kepala surat dan struktur surat rasmi kerajaan. Dalam rentetan itu, MAMPU melahirkan Arahan Pentadbiran Ketua Pengarah MAMPU Bilangan 5 Tahun 2014 yang memperincikan aspek penulisan surat rasmi, memorandum, dan e-mel rasmi kerajaan. Bagi minit mesyuarat pula, Antara surat pekeliling terawal yang dikeluarkan berkaitan penulisan minit mesyuarat ialah Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 1991: Panduan Pengurusan Mesyuarat dan Urusan Jawatankuasa-jawatankuasa Kerajaan dan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 1993: Panduan Mengenai Mesyuarat Pagi yang menekankan identiti struktur minit mesyuarat serta pengurusan mesyuarat kerajaan. Rentetan daripada pekeliling tersebut, MAMPU telah mengeluarkan Arahan Pentadbiran Ketua Pengarah MAMPU Bilangan 6 Tahun 2014 : Panduan Pengurusan Mesyuarat dan Penulisan Minit Mesyuarat dan Pekeliling Transformasi Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 2018: MyMesyuarat – Ekosistem Pengurusan Mesyuarat Era Digital. 

Walaupun arahan ini bukan Pekeliling Perkhidmatan, ia telah dijadikan penanda aras oleh kementerian, jabatan, agensi, dan badan berkanun termasuk universiti-universiti yang mengeluarkan panduan penulisan sendiri dengan merujuk Arahan Pentadbiran Ketua Pengarah MAMPU Bilangan 5 dan 6 Tahun 2014 sebagai rujukan utama.

Penting untuk difahami bahawa penulisan surat dalam konteks bahasa Melayu memiliki elemen penekanan bahasa kebangsaan. Keindahan bahasa dan pemilihan kata yang bersesuaian dengan norma bahasa Melayu adalah kunci dalam penulisan surat rasmi kerajaan di samping penyampaian mesejnya.Penggunaan elemen hormat dan sopan santun juga menjadi faktor penting dalam penulisan surat rasmi dalam bahasa Melayu.

Kursus ini dilaksanakan khusus sebagai pengenalan penulisan surat rasmi serta minit mesyuarat kerajaan kepada pihak swasta yang telah, sedang dan akan berurusan dengan pihak kerajaan.

Objektif Kursus
  1. Menggunakan format surat rasmi, memorandum dan e-mel yang betul berdasarkan Arahan Pentadbiran Ketua Pengarah MAMPU Bilangan 5 Tahun 2014: Panduan Penulisan Surat Rasmi, Memo, Dan Emel serta rujukan lain yang berkaitan;
  2. Menggunakan format minit mesyuarat yang betul berdasarkan Arahan Pentadbiran Ketua Pengarah MAMPU Bilangan 6 Tahun 2014 : Panduan Pengurusan Mesyuarat dan Penulisan Minit Mesyuarat dan Pekeliling Transformasi Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 2018: MyMesyuarat – Ekosistem Pengurusan Mesyuarat Era Digital serta rujukan lain yang berkaitan; dan
  3. Mengaplikasikan kaedah penulisan dokumen rasmi khususnya surat rasmi, memorandum, e-mel dan minit mesyuarat berdasarkan tatabahasa bahasa Melayu yang standard;
Syarat Tambahan

Warganegara Malaysia yang terlibat dengan urusan surat-menyurat dengan jabatan kerajaan dan merupakan pekerja di sektor swasta tempatan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau penuntut serta graduan universiti.

Modul/Topik
Hari Pertama | 27/05/2024 | Isnin
Masa/Sesi Topik
SESI 1 : 08.30 Pagi - 10.30 Pagi
: Pengenalan Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan
SESI 2 : 11.00 Pagi - 01.00 Petang
: FORMAT SURAT RASMI, MEMO DAN E-MEL KERAJAAN
SESI 3 : 02.30 Petang - 04.30 Petang
: DINAMIK GAYA BAHASA DALAM PENULISAN DOKUMEN RASMI
Hari Ke-2 | 28/05/2024 | Selasa
Masa/Sesi Topik
SESI 1 : 08.30 Pagi - 10.30 Pagi
: MEKANIK PENULISAN MINIT MESYUARAT
SESI 2 : 11.00 Pagi - 01.00 Petang
: DINAMIK LARAS BAHASA MINIT MESYUARAT
SESI 3 : 02.30 Petang - 04.30 Petang
: Latihan Penulisan dan Persembahan Kumpulan